Tahap Pembangunan Industri Pelancongan

Screen-Shot-2015-08-06-at-8.26.28-am.png
Sumber: Tourism Malaysia

Dalam konteks negara Malaysia, pelancongan terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga. Perkembangan sektor pelancongan di Malaysia telah dipengaruhi oleh perubahan yang besar dan potensi industri pelancongan pada masa hadapan. Memandangkan industri pelancongan kini merupakan satu pemangkin kepada pendapatan negara, maka pendekatan yang bersepadu dilaksanakan dalam perancangan dan perlaksanaan industri pelancongan secara mampan (Nurulashila Khalid, 2006). Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) pula menunjukkan, usaha bersepadu terus dipacu ke arah merealisasikan potensi sektor pelancongan bagi meningkatkan sumbangan kepada sektor perkhidmatan secara khusus dan ekonomi secara keseluruhan. Tumpuan utama akan mempertingkatkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan global utama serta mempromosi pelancongan domestik. Memandangkan industri ini menjana kesan penggandaan yang tinggi dalam pelbagai sektor, aktiviti pelancongan akan menyediakan landasan yang lebih luas bagi rantaian antara dalam sektor (Rancangan Malaysia Ke Sembilan, 2006-2010). Tahap pembangunan industri pelancongan dipengaruhi oleh beberapa aspek iaitu:

1. Sistem Pelancongan

Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan baru yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri lain yang berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju menjelang tahun 2020. Dalam sistem pelancongan, aspek yang perlu diberi penekanan adalah kewujudan pelancong, pembekal barangan ataupun perkhidmatan pelancongan, kerajaan dan juga tuan rumah destinasi yang terpilih. Dalam erti kata lain, keempat-empat elemen ini perlu terlibat dalam mewujudkan sebuah industri pelancongan. Apabila seseorang individu itu melancong, bermakna mereka adalah pelancong yang memerlukan perkhidmatan seperti penginapan dan pengangkutan. Dalam sistem pelancongan terdapat dua bahagian utama yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan dalam industri pelancongan iaitu bahagian pasaran dan bahagian pembekalan.

2. Komponen Populasi

Dalam bahagian pasaran, komponen yang memainkan peranan dalam menentukan perkembangan dan kemajuan industri pelancongan ialah komponen populasi. Dalam pelancongan, individu yang terlibat dikategorikan kepada dua (2) iaitu penduduk setempat dan pelawat. Apabila kedua-duanya mengembara, wujudlah istilah pengembara atau pelawat. Pengembara pula dapat dilihat dalam dua aspek iaitu mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dan mereka yang mengembara bertujuan memenuhi aktiviti lain. Mengikut perspektif pelancongan, mereka yang mengembara dalam skop pelancongan dikenali sebagai pelancong.

Pelancong biasanya mempunyai motivasi dan faktor yang berbeza yang mendorong mereka untuk melancong seperti terdapat pelancong yang melancong bertujuan untuk menambah minat dalam kehidupan dan terdapat juga pelancong yang melancong sekadar untuk memenuhi keperluan untuk berehat dan mengenali diri sendiri. Pelancong yang mempunyai motivasi yang berbeza mendorong seseorang untuk melancong dan mempengaruhi kehendak terhadap lawatan yang dilakukan seperti pelancong yang merasakan hidup terlalu pendek berkecenderungan untuk mencuba segala aktiviti dan melawati destinasi-destinasi yang sukar didapati. Selain itu, pelancong biasanya melancong ke suatu destinasi bertujuan memenuhi beberapa aktiviti antaranya tujuan perniagaan, melawat kawan dan keluarga atau serta berhibur. Tujuan mereka melancong ini seterusnya mewujudkan kategori dan jenis pelancong dalam industri pelancongan.

3. Bahagian Pembekalan

Bagi melengkapkan keberkesanan dan keselesaan dalam industri pelancongan, pembekal perlu membekal serta menawarkan produk atau pun perkhidmatan pelancongan kepada pelancong. Terdapat tiga komponen utama yang perlu diberi perhatian dalam industri pelancongan. Komponen-komponen ini adalah:

3.1 Komponen Pengangkutan

KLIA2_Built1
Sumber: N-architect

Sektor pengangkutan memainkan peranan penting bagi memastikan pelancong sampai ke destinasi yang hendak dituju. Malah, sektor pengangkutan masa kini adalah salah satu produk yang ditawarkan dalam industri pelancongan. Terdapat pelbagai mod pengangkutan antaranya jalan raya, air, udara dan landasan. Pengangkutan yang berdasarkan mod jalan raya lebih mudah ditawarkan kerana ia banyak digunakan masa kini memandangkan kos penggunaannya juga lebih murah. Malah, bagi tujuan pelancongan masa kini, penggunaan bas ekspres sering kali digunakan terutamanya oleh mereka yang melancong secara berkumpulan. Mod pengangkutan udara walaupun mahal tetapi penting kerana ia dapat menghubungkan destinasi yang tidak mempunyai mod pengangkutan jalan raya dan air. Penggunaan pengangkutan udara juga dapat menjimatkan masa terutamanya perjalanan antarabangsa. Mod pengangkutan air pada masa kini lebih kerap digunakan dalam pelancongan bagi tujuan berehat dan berhibur. Ini terbukti dengan wujudnya kapal pelayaran. Pemilihan pelancong dalam memilih mod pengangkutan dipengaruhi oleh beberapa aspek. Antaranya, pelancong lebih cenderung memilih pengangkutan mengikut jarak destinasi yang hendak mereka kunjungi. Pelancong juga lebih cenderung memilih mod pengangkutan yang dapat menawarkan keselesaan dan mempunyai status yang tinggi.

Selain itu, pelancong lebih menitik beratkan aspek keselamatan dan harga dalam memilih mod pengangkutan. Ini memandangkan industri pelancongan masa kini sering kali tergugat oleh faktor-faktor di luar jangkaan seperti pengganas dan bencana alam. Sistem pengangkutan yang sistematik akan memudahkan pelancong asing pergi dari satu destinasi ke satu destinasi yang lain. Dengan adanya sistem pengangkutan yang mengenakan tambang pada harga yang berpatutan, selamat, selesa, cekap dan mengikut jadual yang ditetapkan, para pelancong mudah pergi ke sesebuah tempat tanpa perlu menghadapi banyak masalah. Antara contoh pengangkutan moden yang terdapat di Malaysia ialah monorel, komuter, kapal laut, bas, teksi dan sebagainya. Mereka tidak lagi berhadapan dengan masalah pengangkutan untuk pergi ke kawasan pulau dan tanah tinggi. Sebagai contoh, para pelancong boleh menggunakan perkhidmatan feri atau kapal terbang untuk pergi ke Pulau Langkawi. Terbukti bahawa pengangkutan awam memainkan peranan penting dalam memajukan ekonomi di Malaysia. Sesebuah destinasi pelancongan tidak mungkin berkembang tanpa sokongan infrastruktur pengangkutan yang baik.

3.2 Komponen Tarikan

Peningkatan jumlah kedatangan pelancong di sesuatu kawasan pelancongan banyak berkaitan dengan daya tarikan yang terdapat di destinasi pelancongan tersebut. Daya tarikan yang unik dan tersendiri merupakan kuasa magnet yang menarik seseorang untuk melancong ke destinasi tersebut. Pelancong lebih berminat untuk melancong ke sesuatu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan semula jadi seperti Gunung Kinabalu. Selain itu destinasi pelancongan yang mempunyai ciri-ciri tarikan kebudayaan juga dapat menarik minat pelancong untuk melancong di destinasi pelancongan tersebut. Contohnya, negeri Melaka yang mempunyai elemen-elemen sejarahnya dan keunikan budaya kaum seperti Portugis dan Baba Nyonya yang tiada di negeri-negeri lain di Malaysia menyebabkan Melaka terkenal dengan Bandaraya Bersejarah (Yazid Saleh, 2008).

3.3 Komponen Perkhidmatan

Perkhidmatan merupakan komponen yang penting dalam industri pelancongan di sesebuah Negara. Ini kerana faktor penentu kepada kemasukan pelancong di sesebuah tempat pelancongan berkait rapat dengan komponen perkhidmatan yang ditawarkan oleh industri pelancongan tersebut. Semakin tinggi kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesebuah industri pelancongan semakin tinggi jumlah kedatangan pelancong ke kawasan pelancongan tersebut. perkhidmatan meliputi segala bentuk kemudahan yang digunakan oleh pelancong semasa berada di destinasi pelancongan. Elemen-elemen perkhidmatan diperlukan oleh pelancong di destinasi pelancongan yang mereka lawati adalah untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang mereka berada di destinasi pelancongan.

Antara komponen perkhidmatan yang diperlukan oleh pelancong untuk menyokong mereka menjalani kehidupan sepanjang berada di destinasi pelancongan ialah penginapan. Oleh kerana pelancong itu sendiri membawa maksud ke luar dari tempat tinggal asal, maka ia juga membawa maksud pelancong menginap di tempat itu. Di sini jelas sektor penginapan penting bagi memenuhi keperluan pelancong. Sektor penginapan juga menawarkan pelbagai bentuk penginapan dan makanan kepada pelancong. Antara jenis penginapan yang ditawarkan kepada pelancong adalah yang berbentuk tidak perlu dibayar ataupun perlu bayaran yang murah seperti hostel atau asrama sekolah.

4. Maklumat dan Promosi

894813_554495404581007_2012689783_o
Sumber: MATTA Fair

Maklumat atau promosi juga penting dalam industri pelancongan bagi mempromosikan aktiviti-aktiviti dan pengalaman-pengalaman yang boleh diperoleh oleh pelancong sepanjang berada di destinasi pelancongan tersebut. Bagi meningkatkan kedatangan pelancong di sesuatu destinasi pelancongan pihak pengurusan perlu menyediakan maklumat-maklumat yang ditawarkan sebelum dan semasa pelancong melancong di destinasi tersebut. Maklumat-maklumat yang boleh dipromosikan adalah seperti aktiviti-aktiviti dan pengalaman yang ditawarkan, tarikan-tarikan yang boleh mendorong pelancong untuk melancong ke destinasi tersebut, pengangkutan dan kos yang diperlukan untuk sampai ke destinasi pelancongan tersebut dan tempat-tempat penginapan yang boleh didapati di kawasan pelancongan tersebut. Selain itu, pihak pengurusan perlu mempromosikan latar belakang sesuatu destinasi pelancongan seperti bahasa dan budaya yang digunakan oleh penduduk tempatan bagi memudahkan pelancong berkomunikasi dan berinteraksi dengan penduduk tempatan.

Pelancongan luar bandar melibatkan kepelbagaian aktiviti, perkhidmatan dan keselesaan yang disediakan oleh penduduk luar bandar. Di Malaysia pembangunan pelancongan desa semakin berkembang sejak 20 tahun lepas melalui pembangunan program-program homestay. Dalam konteks Negara ini, pelancongan desa merujuk kepada pembangunan program-program homestay di kampung-kampung berjaya di seluruh Malaysia. Inisiatif kerajaan dalam membangunkan program homestay sebagai produk pelancongan desa adalah satu pendekatan yang baik dalam memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi tradisional tempatan. Namun tahap pencapaian sehingga kini, perubahan hanya berlaku dari aspek kuantiti program tetapi dari aspek kualiti program homestay tidak jauh berbeza.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s